Tuesday, October 9, 2012

Senyuman Itu.. I



Dingin pagi itu. Sedingin salji yang berhembus turun di kota itu. Tangannya mencapai kerepek tempe lalu duduk bersandar ke dinding. Dikunyahnya perlahan kerepek itu satu persatu. Sesekali matanya beralih pandangan ke luar jendela. Sekilas matanya terpandang jam di dinding. Lama sungguh jam itu direnungnya . Entah apa yang bermain difikirannya saat itu. Entah apa yang bergelodak di hatinya saat pagi setenang itu.

"Ya Allah, dugaan apakah ini Ya Allah. Apakah yang ingin KAU sampaikan padaku ketika ini     Ya Allah. Mengapa KAU uji aku dengan ujian yang lemah untuk aku hadapinya. Mengapa hati ini KAU berbelah bahagikan antara dua insan itu Ya Allah. Sedangkan tidak KAU ciptakan dalam hati sesorang itu dengan dua hati di dalam rongganya (Al-Ahzab: 4)." Monolog hatinya. Bertubi-tubi persoalan itu menyinggah di ruang hatinya, memecah kedamaian jiwanya saat itu.

Gelodak jiwanya semakin hari semakin membarah.
Seorang dirasakan terlalu dekat dengannya, seorang lagi dirasakan begitu tenang bila bersamanya. Entah yang mana satu harus dipilihnya. Hampir di setiap sepertiga malamnya dihidupkan dengan istikharah memohon petunjuk dari Yang Maha Mengetahui setiap yang ghaib sebagaimana saranan Rasulullah yang pernah dia pelajari. Baginda bersabda: "Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu...."

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa dia lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka tetapkanlah dia bagiku dan mudahkanlah dia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut. Aamiin Ya Rabb. "

Doa itulah yang saban hari meniti dibibirnya. Tiada sedikitpun kekuasaan dalam dirinya terhadap sesuatu perkara melainkan semuanya berada di tangan Allah. Tiada langsung hak dalam dirinya untuk menetapkan segala apa yang akan berlaku melainkan segalanya adalah dengan kekuasaan Allah Yang Maha Kuasa. Hanya doa dan pergantungan pada Pemilik Kuasa Yang Mutlak mampu dipanjatkan.

----------------
Kelas Qawaid Fiqhiyah berjalan seperti biasa. Lamunan seakan belum berakhir. Sesekali matanya melilau ke luar tingkap. Direnungnya segala apa yang berada di luar kelas. Matanya menembusi seluruh dimensi yang ada. Terasa seolah-olah tiada penghadang yang menghalang pandangannya di hadapan. Tiba-tiba. Sekilas matanya terpana pada susuk wajah seorang lelaki di luar jendela yang sebenarnya dari tadi merenungnya dengan senyuman tanpa dia sedari.

"Ah, senyuman itu. Senyuman inilah yang sentiasa hadir dalam fikiran aku. Siapa sebenarnya lelaki ini. Mengapa dia mengganggu jiwa aku saat ini. Ya Allah, kuatkanlah hatiku."

Sekelip mata, kelibatnya tidak lagi kelihatan. Seolah-olah halimunan yang tiba-tiba muncul seketika kemudian menghilang. Buku Qawaid Fiqhiyah karangan Ali Ahmad An-Nadawi yang terbuka di hadapannya terselak satu persatu dek ditiup hembusan angin dari luar. Dia hanya memandang, tidak dilayannya selakan helaian kertas buku itu. Dipandangnya kembali ke luar, mencari kembali susuk tubuh lelaki tadi kalau-kalu dia muncul kembali. Namun hampa. Matanya kembali menatap kitab mata pelajarannya. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu. Iyye. Dia terpandang sesuatu. Ada sesuatu yang terselit di celahan kitabnya. Angin itulah yang menyingkap helaian bukunya sehingga dia ternampak sesuatu itu. Secebis memo usang. Di dalamnya tertulis baberapa baris ayat: " abang menyayangimu........" hanya perkataan itu yang sempat dibacanya dek kerana angin kencang tiba-tiba menyapa menerbangkan memo itu. Entah ke mana perginya memo itu. Dari siapakah gerangannya memo itu hadir.

++++++++++
BERSAMBUNG......

No comments:

Post a Comment