Friday, March 18, 2011

Mengutip IBRAH dicelah pengalaman hidup...






Alhamdulillah, akhirnya berjaya menamat sebuah novel bertajuk ‘Travelog Seorang Dai’e’ karangan Ustaz Abdul Rahman Mohamed beberapa hari yang lalu. Sekalung penghargaan dan syukran jazilan buat adik usrah yang sudi menghadiahkan novel ini buat diri ini sebagai muhasabah di kala sendiri. Terlalu banyak rasanya ibrah yang boleh diperolehi melalui pembacaan novel yang amat bermakna ini terutamanya dalam mengharungi hidup sebagai seorang dai’e di muka bumi Allah ini.

Menjadi  seorang dai’e bukan suatu jalan yang mudah. Bukanlah perjalanan yang dihamparkan dengan karpet merah. Bukan juga dikelilingi kesenangan dan kemewahan harta dunia. Tapi jalan ini menuntut pelbagai ujian, mehnah dan tribulasi untuk diharungi oleh seorang pejuang. Jalan yang terlalu sukar untuk dihadapi oleh mereka yang sambil lewa dalam menyampaikan dakwah. Kerana inilah jalan
hidup yang telah diharungi oleh para Anbiya’, Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat dan ulama’ yang terdahulu.


IBRAH DARIPADA PENGALAMAN PENULIS

Ingin dicoretkan disini hanyalah berkenaan pengajaran yang dapat diperolehi hasil telahan novel ini di mana novel ini menceritakan pengalaman penulisnya sendiri sejak kecil sehingga saat ini. Segala pengalaman hidup sama ada pahit atau manis, jatuh atau bangun, senang atau susah beliau coretkan dalam penulisan beliau untuk dijadikan i’tibar buat semua pembaca Muslimin mahupun Muslimat. Nasihat beliau : “Kesusahan hidup bukanlah hukuman, sebaliknya ia adalah ujian untuk mendapatkan yang terbaik. Sesungguhnya beserta kesusahan itu ada kesenangan."


Menerusi pengalaman sejak zaman kanak-kanak lagi beliau terpaksa mengharungi kesusahan hidup yang sangat getir. Apa yang menyentuh hati ini adalah ketika mana beliau di bangku sekolah apabila beliau terpaksa mengikat perut dengan hanya meneguk air paip di tandas sehingga kenyang semata-mata untuk mengisi perut yang kelaparan kerana tiada wang untuk membeli makanan pada waktu rehat. Kadang-kala beliau berdiri dihadapan gerai kantin dek terliur dengan mee rebus yang tidak mampu dibeli sehinggakan pernah suatu ketika beliau pernah dihalau oleh mak cik gerai tesebut kerana mengganggu perniagaannya. Walaupun hidup dalam keadaan yang sempit lebih-lebih lagi ketika masih kanak-kanak, namun itu tidaklah menjadikan beliau seorang pemberontak, seseorang yang mahukan ini dan itu dengan mudah. Jauh beza sekali dengan kanak-kanak pada zaman sekarang yang lebih selesa hidup dalam kesenangan. Mudah memiliki apa yang dikehendaki. Amat sukar untuk mencari kanak-kanak zaman kini yang mampu menghadapi kepayahan hidup di awal usia. Buat insan yang bergelar ibu dan ayah, didiklah anak-anakmu untuk hidup dengan sekelumit kesusahan hidup.. Ajarlah mereka mengenal apa itu  erti kesusahan hidup..agar ia menjadi penguat hidup mereka ketika dalam kesempitan.


Keperitan hidup beliau bukanlah berakhir setakat itu sahaja. Kesukaran hidup sebagai anak yatim yang tidak mempunyai asas agama sejak kecil membuatkan beliau menjadi semakin liar dengan menyertai kumpulan samseng dan mula merokok pada zaman remajanya. Kerap kali beliau direman di penjara. Dengan cara tesebutlah pihak polis membendung kenakalan remaja dan kumpulan-kumpulan samseng ketika itu. Tidak seperti remaja-remaja nakal hari ini, beruntung kerana hak asasi manusia menghilangkan sistem polis terdahulu. Namun itu bukanlah perkara yang boleh dibanggakan kerana pada hakikatnya sistem itulah yang membantu remaja seperti itu untuk mencari perubahan hidup. Kerana kekosongan jiwa daripada agama, tidak kenal erti ajaran Islam, hidup mudah dipengaruhi trend semasa. Kepada remaja di luar sana mahupun diri sendiri, janganlah melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan samseng kerana hakikatnya anda hanyalah berani dan digeruni apabila ramai, tapi bila bersendirian anda yang akan berasa gerun. Amat jauh sekali daripada ketenangan hidup! Carilah agamamu, kerana agama penyelamat ummah.



Kehidupan Ustaz Abdul Rahman yang dilaluinya sebagai anak yatim, yang datangnya daripada keluarga ibu tunggal yang sentiasa dalam kesempitan hidup, ditambah lagi dengan tiada asas agama sejak kecil akhirnya bertukar menjadi seorang anak muda yang dahagakan ilmu agama, hanya berbekalkan iltizam dalam diri, bukan dorongan daripada keluarga dan bukan jua dorongan kewangan yang mewah kerana tiada harta yang boleh beliau banggakan. Kesempitan hidup bukanlah penghalang beliau untuk berubah. Hidup mesti diteruskan dengan lebih baik. Inilah yang harus diteladani oleh pemuda zaman sekarang. NOTHING IS IMPOSSIBLE! Duhai diri yang masih merasai nikmatnya ajaran Islam, berubahlah untuk menjadi lebih baik. Walau sejahat mana atau seburuk mana pun kita, percayalah bahawa kita boleh berubah jika ada keazaman dan iltizam dalam diri.  


Teladanilah sikap ustaz ini, walaupun beliau anak orang susah, pernah kegersangan hidup tanpa ilmu namun Allah naikkan darjat beliau menjadi seorang yang punyai ilmu agama, pembimbing keluarga dan pendakwah ummat. Apa yang penting iltizam untuk berubah.

Sebagai penutup kata untuk artikel pertama ini, ingin kukongsikan nasihat Ustaz Ridwan Abdullah, guru agama beliau : “ Jangan takut untuk menyampaikan kebenaran. Apabila ramai yang datang untuk belajar denganmu dan mereka suka denganmu, ketahuilah bahawa kamu sebenarnya tidak menyampaikan kebenaran, sebaliknya kamu menyampaikan apa yang disukai oleh orang ramai.”

Sedangkan Allah S.W.T ada berfirman : “Kebanyakan manusia tidak suka kepada kebenaran dan apabila hanya sedikit yang dating kepadamu janganlah kamu berputus asa kerana kebenaran hanya disenangi sedikit orang…”



1 comment: