Sunday, December 9, 2012

Aku dan Dia Hanyalah Hamba




Air mata wanitanya jatuh setitik demi setitik ke atas catatan yang baru ditulis di dalam diari peribadinya itu lantas mengembangkan sedikit dakwat yangg masih belum menyerap sepenuhnya. Cepat-cepat dia menyeka air jernih itu sambil menatap ukiran souvenir yang dipegangnya. Itulah penyesalan yang maha hebat yang pernah dirasainya. Tidak pernah lagi dia berkelakuan seperti itu selama ini. Tidak pernah sama sekali. Sudah pasti perlakuannya yang terburu-buru itu telah menjatuhkan nama baik pemuda itu. Solehah lantas menyimpan souvenir itu di dalam lacinya, bersama diari itu lalu menguncinya. 


Dia terus keluar dari bilik itu. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah tempat yang seringkali dia singgah saat kedamaian jiwa tidak dia miliki. Tempat yang biasa dia habiskan waktunya untuk mencari ilham dan menenangkan jiwanya yang remuk. Indahnya tidak pernah mampu terukir dengan kata-kata. Bagai kaki selangkah berada di taman syurga. Tempat yang menghantar bau-bauan harum untuk para tetamunya.
Muncul pula seekor burung yang ajaib rupanya dan terlalu cantik warnanya terbang di udara taman syurga itu. Mengembangkan sayapnya mengelilingi bahagian atas kepala. 

Dari kedua-dua belah sayapnya itu terperciklah bau-bauan yang harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian setiap ahli syurga itu. Maka harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Harumnya bau syurga dapat dicium sejauh jarak perjalanan 100 tahun. Syurga itu udaranya nyaman tidak panas membakar dan tidak pula sejuk mengigit. Allah berfirman:  "Mereka berehat didalam syurga dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya." (Al-Insan: 13)


"Tanah syurga itu licin putih, kasturi murni." [Hadis riwayat Muslim].

Sungai-sungai syurga pula memancar dari bawah-bawah bukit. "Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa : Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggeledak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?" (sudah tentu tidak sama!).”

Di sana ada sungai yang dinamakan Al-Kausar. Sungai yang dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri dari permata-permata dan tanahnya dari wewangian yang paling wangi. Tepian sungai ini terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari mutiara.  “Barangsiapa meminum air dari Al-Kausar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak merasa haus untuk selama-lamanya.” Keindahan syurga bersama pohon-pohon yang rimbun menghijau. Beraneka macam jenis bunga yang menawan hati sudah pasti memberikan kedamaian jiwa bagi siapa yang memandangnya. 

"Pohon kurma syurga itu batangnya daripada permata Zamrud yang hijau, pangkal-pangkal pelepahnya daripada emas yang merah dan setiap satu pelepahnya menjadi pakaian penghuni syurga, daripadanyalah pakaian dan perhiasan-perhiasan mereka dipotong dan dijahit. Manakala buahnya seperti tempayan, lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada buih dan tiada mempunyai benih."

"Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu. Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya."  Seketika kemudian terdengar suatu suara paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang terbentang itu. Suara itu merupakan kalimah dari Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia. Demikian kalimah yang berkumandang di setiap penjuru alam syurga pada ketika itu. Sungguh, syurga itu indah. Keindahan yang tidak pernah terjangka oleh makhlukNya seluruhnya. Oh, indahnya!


-----------------------

Malam berlalu tanpa simpati, semakin lama semakin merangkak tua. Dia meredah malam yang kelam itu dengan penuh celaru. Matanya seakan tidak mengenal erti sebuah perhentian. Berhenti dari menangisi apa yang telah berlaku. Lama dia ditemani malam yang kelam itu. Tidak tergerak langkahnya, malah semakin dibuai imaginasi hingga larut malam. Lama. Barulah jiwanya kembali tenteram, tapi masih berlagukan sendu. Lumrah. Hati seorang perempuan. Memang mudah bermain rasa.


Dia kembali ke bilik yang telah lama menanti kehadirannya. Yang setia menemani Solehah saat dia berselubung emosi. Penat sungguh jiwanya malam itu. Direbahkan badannya di atas tilam yang empuk itu. Fikirannya masih lagi terawang-awang dengan apa yang terjadi siang tadi. Jauh dia mengelamun, sehinggalah tiba-tiba fikirannya terlintas sesuatu yang tidak pernah dia jangka akan terfikir secepat ini. Matanya yang tidak pernah tertatap. Santunnya yang tidak pernah terjerat. Hatinya yang belum pernah termiliki. Nawaitunya yang menginginkan seorang zauj tiba-tiba hadir menemani. Dengan serendah-rendah hati, ingin dia miliki semulia-mulia cinta di bawah langit cinta Allah Pemilik Cinta sekalian alam.


Pada nota kanvas putih yang masih sesuci embun kasih, nama pemuda itu tiba-tiba terpatri. Dakwat membasah menyerap kanvas putih itu. Tertulis namanya, tercatatnya hasrat hatinya yang murni lagi setia. Lafaz cinta yang belum pernah terungkap di bibirnya selama ini. Menyepikan nama seorang pemuda, pada jiwa sekuntum bunga. Berdurinya di taman larangan. Tidak akan sesekali dirinya mengizinkan sentuhan jiwa bernafsu. Tidak akan bisa dipetik oleh mereka yang dayus. Hanya mampu dipetik oleh pemuda yang sanggup melukai dirinya demi mempertahankan sekuntum bunga berharga. Bukan dengan sembarangan petikan, tetapi memetik dengan penuh maruah. Bukan kerana kesempurnaan tetapi kerana ingin mengindahkan lagi bunga itu. Bukan untuk dikhianati, tapi untuk dibimbing.


Solehah, dia pasti sentiasa melarikan renung matanya. Menjauhkan gurau senda daripada mereka yang tidak selayaknya. Maruahnya hanya untuk suaminya. Kerana hatinya mekar atas sebuah nama cinta yang ingin dia pelihara. Melingsir riak rasa hatinya yang mahu. Tapi sepastinya tidak dia ketahui bilakah saat itu bakal menjelma. Namun kesabaran itu perlu di atas setiap ketentuan Ilahi. Memecah resah-resah haram yang sentiasa hadir dan menanti. Tidak perlu terburu-buru. Saatnya akan tiba bila dia bersedia, bukan ketika dia mahu.

Bangkitlah duhai jiwa yang memendam cinta. Usah makin membisu dan lemah membatu dengan rasa. Bukanlah cinta yang membahagiakan andai jiwa mampu berlagu merdu namun anggota membungkam lesu. Binalah rasa cinta bersama ketinggian agama andai benar redhaNYA yang ingin dimiliki. Moga sentuhan cinta Tuhanmu sentiasa bersamamu. Jujurlah pada cintaNYA yang satu sebelum mengatakan jujur pada cinta yang belum pasti bakal bertamu.



Jangan pernah lelah wahai gadis solehah yang penuh kasih
Kerana ku kan sentiasa dibelakangmu untuk mendoakanmu
Jangan kau toleh kebelakang, lihatlah hari depan
Di sana ada tentangan, cita-cita yang harus kau capai
Jadikan semua tentangan tunduk dengan semua tekadmu
Janganlah ragu untuk melangkah, kerana banyak yang harus kau selesaikan
Berlari dan terus berlari
Jangan pernah sesekali kau menyerah




3 comments:

  1. cerpen yang menarik..
    seperti ada sambungan nya.. hehe.. tiada kaitan dengan penulis ye.. ?? hehe
    Terbaik la sotin!

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..sambungannya xde kot..cerita 'senyuman itu' pun masih belum bersambung lagi..huhu

      semestinya tiada kaitan..kui3 ;)

      Delete