Qawa’id Fiqhiyyah merupakan kaedah yang bersifat umum meliputi
sejumlah masalah fiqh dan melaluinya dapat diketahui hukum masalah fiqh yang
berada dalam lingkupnya. qawaid fiqhiyyahsecara langsungnya
didasarkan dan disandarkan kepada dalil-dalil dari al-Qur’an dan Sunnah dapat
dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan hukum. Kaedah fekah iaitu
kaedah-kaaedah yang bersifat umum, yang mengelompokkan masalah-masalah fekah
secara terperinci menjadi beberapa kelompok, juga merupakan pedoman yang
memudahkan penyimpulan hukum bagi suatu masalah, iaitu dengan cara
menggolongkan masalah-masalah yang serupa dibawah satu kaedah.
Berhubung hukum feqah lapangannya luas, meliputi berbagai
peraturan dalam kehidupan yang menyangkut hubungan manusia dengan Tuhannya, dan
hubungan manusia dengan sesama manusia. Qawa’id fiqhiyyah ialah
kaedah fekah dalam undang-undang Islam yang menjadi asas untuk memahami dan
mengembangkan fekah Islam tentang kaedah-kaedah hukum. Ia berlaku setelah
kewafatan Nabi dan segala hukum tidak ada pembatalan lagi. Tetapi ia memerlukan
jalan-jalan hukum yang berbentuk fleksibel untuk membuka peluang manusia
menggunakan akal yang berpandukan nas dalam berijtihad.
Definisi Qawa’id
Fiqhiyyah
Islam adalah agama mudah dan memudahkan. Islam juga
adalah sebuah agama yanag amat bersesuaian dengan kehendak fitrah kehidupan
manusia. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi pembatalan hukum
kerana penurunan wahyu telah berakhir. Namun, ruang ijtihad masih terbuka di
atas dasar prinsip-prinsip fiqh Islam yang fleksibel. Khasnya dalam masalah
hukum berdasarkan ijtihad yang berkaitan dengan adat kebiasaan manusia yang
turut berubah disebabkan perubahan masa dan tempat. Para ulama’ juga sependapat
tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perubahan hukum berdasarkan perubahan
masa.
Ilmu berkaitan Qawa’id Fiqhiyah adalah
satu disiplin ilmu yang amat penting untuk dipelajari oleh setiap mukallaf
walaupun hanya secara umum. Wajar bagi penuntut ilmu menguasai
sekurang-kurangnya asas penting dan beberapa kaedah utama daripada
kaedah-kaedah fiqh tersebut.
Perkataan qawa’id dari segi
bahasa bermaksud asas rumah dan selainnya. Firman Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 127 yang berbunyi :
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ
الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ
الْعَلِيمُ
Maksudnya : “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim
meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa):
"Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya
Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui".
Dalam bahasa Arab, kalimah qawaid mempunyai maksud-maksud
lain seperti seorang perempuan yang duduk, pemalas, undang-undang dan kalimah
ini juga turut membawa makna ibu negeri. Manakala dari aspek istilah
syarak pula, menurut Mustafa Ahmad al-Zarqa’ dalam kitabnya al-Madhal
al-Fiqhu al-‘Ammu, kalimah qawaid membawa makna hukum yang dipraktikkan ke
atas keseluruhan masalah juz’iyyat. Ada juga dalam kalangan ulama’ Usul
Fiqh yang menjelaskan pengertian qawaid dari segi istilah dengan makna
hukum kulli atau bersifat umum yang dipraktikkan ke atas semua hukumjuz’i untuk
mengetahui hukum daripadanya.
Kedudukan Qawaid Fiqhiyyah dalam
perundangan Islam
Sungguhpun kaedah fiqh ini adalah bersifat aghlabiyyat,
tidak bererti akan mengurangkan ketinggian nilai ilmunya dalam fiqh. Hal ini
kerana terdapat dalam kaedah-kaedah tersebut suatu gambaran yang menarik
terhadap prinsip-prinsip fiqh yang umum dengan memantapkan hukum-hukum furu’ yang
amali dengan beberapa kaedah.
Jika kaedah-kaedah
ini tidak wujud, maka hukum-hukum fiqh akan menjadi hukum-hukum furu’ yang
terpisah-pisah dan kadangkala pada zahirnya boleh menimbulkan pertentangan
antara satu sama lain tanpa dasar-dasar yang dipegang. Oleh kerana itulah Imam
al-Qarafi berkata dalam mukadimah kitabnya yang bertajuk al-Furuq yang
mana mengatakan bahawa syariat Nabi Muhammad itu mengandungi usul dan furu’.
Menurut beliau usul itu mempunyai dua bahagian dan yang pertamanya ialah usul
al-fiqh yang mana perbahasannya ialah berkaitan kaedah-kaedah hukum
yang timbul dari lafaz-lafaz, seperti al-amar menunjukkan wajib dan al-nahy
menunjukkan haram. Sementara usul yang kedua pula ialah qawaid kulliyyah
fiqhiyyah yang mana terbahagi kepada banyak cabang merangkumi hukum-hukum furu’
yang tidak mungkin dapat dibilang.
Qawaid fiqhiyyah ini amat penting dalam pengajian ilmu fiqh dan
besar manfaatnya. Seseorang yang faqih dapat diukur kemampuannya melalui sejauh
mana penguasaan ke atas qawaid fiqhiyyah ini, kerana dengan kaedah ini mereka
dapat memahami cara bagaimanakah ingin mengeluarkan sesuatu fatwa. Barangsiapa
yang mengambil dan berpegang hanya kepada cabang-cabang masalah juz’iyyat sahaja,
tanpa berpandukan kepada qawaid fiqhiyyah, nescaya akan timbul
pertentangan furu’ dan memerlukan ia menghafaz masalah-masalah
dengan terperinci dan tidak akan berakhir. Namun begitu, barangsiapa yang
menguasai fiqh bersama-sama denga kaedahnya, tidak perlulah ia menghafaz banyak
masalah juz’iyyat kerana ia telah pun termasuk dalam qawaid
fiqhiyyah dan dapat diselaraskan dengan mana –mana kaedah yang
bersesuaian dengannya.
Perbezaan antara qawaid fiqhiyyah dan qawaid usuliyyah
Sebagaimana yang sedia maklum, Fiqh ialah disiplin ilmu
yang berasingan dengan Usul Fiqh, begitulah juga Qawaid Fiqh dan Qawaid
Usul. Ada pendapat yang mengatakan bahawa orang pertama yang memisahkan
serta mengasaskan secara berasingan kaedah Fiqh dan kaedah Usul ialah Imam
Syihab al-Din al-Qarafi yang mana dijelaskan oleh beliau dalam mukadimah
kitabnya yang bertajuk al-Furuq.
Pertamanya, kaedah Usuliyyah ialah kaedah yang
menerangkan manhaj atau methodologi yang semestinya diikuti oleh setiap ahli
fiqh dalam mengistinbatkan sesuatu hukum syarak berpandukan dalil-dalil yang
terperinci. Sementara itu, kaedah fiqhiyyah pula merupakan
satu prinsip umum dalam fiqh yang mana merangkumi hukum-hukum syarak yang umum
selaras dengan masalah-masalah yang telah berlaku dan permasalahan yang baru
muncul, yang termasuk di bawah tajuk prinsip-prinsip berkenaan. Kaedah ini
digunakan oleh orang alim atau penuntut ilmu untuk memudahkan hafalan
masalah-masalah fiqh mengikut kaedah tertentu.
Ibnu Taimiyyah berpendapat bahawa kaedah Usuliyyah ialah
yang berkaitan dengan dalil-dalil umum, manakala kaedah Fiqhiyyah pula ilmu
yang berkaitan dengan ibarat atau merupakan penjelasan tentang hukum-hukum yang
umum. Perbezaan lain yang dapat diketengahkan di sini ialah kaedah usuliyyah ialah
kaedah kulliyyah yang dipraktikkan terhadap keseluruhan atau
semua masalah juz’iyyat atau terperinci, manakala kaedah fiqhiyyah pula
merupakan hukum yang bebentuk kebanyakan yang mana pelaksanaannya terhadap
masalah juz’i dalam sebahagian daripada masalah fiqh dan
skopnya adalah berkaitan dengan perbuatan mukallaf.
Sebagai rumusannya, walaupun terdapat beberapa perbezaan
antara keduanya, namun kedua-dua ilmu tersebut adalah saling lengkap-melengkapi
dan berkait rapat antara satu sama lain. Perbezaan yang terbentuk hanyalah dari
sudut ibarat sahaja, khasnya dalam konteks penyempurnaan skop dan bidang
perbahasan yang berkaitan dengannya.
Faktor terbentuknya Qawaid Fiqhiyah
Menurut al-Sayuti dalam kitabnya al-Ashbah wa
al-Naza’ir, judul asal kitab yang dikarang berkaitan dengan kaedah Fiqh,
khasnya kitab-kitab yang diberi nama al-Ashbah wa al-Naza’irtersebut
diambil sempena dengan surat khalifah Umar al-Khattab kepada Abu Musa
al-Asy’ari yang antaranya ialah :
(الفهم الفهم فيما يختلج في
صدرك, مما لم يبلغك في الكتاب والسنة, أعرف المثال ولأشباه ثم قس الأمور عندك,
فاعمد الى أحبّها الى الله وأشبهها بالحق فيما ترى)
Maksudnya : "Fahamilah benar-benar masalah yang
engkau hadapi yang mana hukum-hukumnya engkau tidak temui di dalam al-Quran dan
Sunnah Rasulullah SAW. Ketahuilah persamaan dan sebanding serta menujulah ke
arah yang lebih disukai oleh Allah SWT dan lebih hampir kepada yang benar."
Antara faktor yang membawa kepada terbentuknya kaedah fiqhiyyah ini
ialah peranan para ulama’ dan mujtahid. Golongan ini memainkan peranan mereka
menggunakan akal fikiran berdasarkan ilmu daripada sumber perundangan, selaras
dengan konsep syariat yang sesuai dilaksanakan tanpa mengira masa dan tempat.
Justeru itulah para mujtahid berusaha dengan berijtihad untuk memahami nas-nas
dan mempraktikkan kaedah-kaedah yang umum terhadap masalah furu’ yang baru dan
sentiasa muncul. Sebagai contoh, melalui konsep al-Qiyas,
Istihsan, ‘Uruf serta berbagai sumber lain lagi.
Oleh yang demikian, apabila terdapat hukum furu’ yang
sama ‘illah atau sebabnya, ia digabungkan dalam kaedah umum
iaitu al-Qawaid al-Kulliyyah al-‘Ammah. Kaedah ini merupakan kaedah
umum serta menyeluruh yang meliputi semua hukum furu’ dan
segala bahagiannya. Walaupun dalam rangka ijtihad terdapat dalil-dalil yang
bersifat zanni yang diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dan para mujtahid,
namun mereka semua bersatu dan bersepakat berusaha ke arah yang terbaik demi
mencari keredhaan Allah SWT.
Dalam konteks lain, para ulama’ dan mujtahid mengkaji dan
mendalami semua ruang serta sumber perundangan Islam yang luas dan
berijtihad dengan ilmu yang mereka ada untuk memahami nas-nas dalam mengkaji
prinsip-prinsip syariat yang sesuai dengan keadaan masa dan tempat. Justeru
itu, mereka mempraktikkkan kaedah yang berbentuk umum terhadap masalah khusus
atau furu’ yang baru serta sentiasa wujud dalam masyarakat.
Antara faktor lain yang membawa kepada terbentuknya
kaedah fiqhiyyah ini sebagaimana yang dijelaskan oleh para
ulama’ dan fakta sejarah ialah kerana terdapat nas-nas yang dapat ditafsirkan
dengan berbagai-bagai. Iaitu ada nas yang berbentuk umum yang merangkumi
pelbagai masalah, dan ada nas yang mutlaq yang mana melahirkan
pendapat-pendapat untuk mengikatnya atau untuk memuqayyadkannya.
Selain itu, kaedah fiqhiyyah ini juga
muncul akibat terdapat kaedah-kaedah umum yang berasaskan adat kebiasaan yang
muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke satu generasi
lain untuk disesuaikan dengan masalah-masalah hukum furu’. Oleh
yang demikian, ia memerlukan sumber-sumber akal fikiran dan amalan-amalan yang
berterusan sebagai adat atau ‘uruf untuk mengeluarkan hukum yang fleksibel di
samping untuk menangani persoalan semasa yang sentiasa wujud dan berterusan
sehinggan kini.
Sebagai rumusannya, disebabkan oleh masalah fiqh dan
furu’ yang terlalu banyak dan luas, maka perlulah kepada penetapan
prinsip-prinsip atau kaedah-kaedah tertentu agar menjadi mudah untuk
mengembalikan atau menggolongkan masalah-masalah fiqh yang lahir. Justeru itu,
para ulama’ telah mengembalikan semua masalah furu’ tersebut
kepada lima kaedah asas yang utama. Ekoran daripada itu juga, maka terbentuklah
pelbagai kaedah kulliyyah dan juz’iyyah yang
banyak.
5 Kaedah Utama :
Pertama : الأمور بمقاصدها (Setiap perkara adalah berdasarkan maksudnya)
Kedua : اليقين لا يزول بالشك (Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka)
Ketiga : المشقة تجلب التيسير (Kesukaran membawa kepada kemudahan)
Keempat : الضرر يزال (Kemudaratan dihapuskan)
Kelima : العادة محكمة (Adat/kebiasaan dijadikan hukum)
Bersambung.......(Penjelasan Kaedah Utama & Pecahannya)
----------------------------------
♥ اللهم فقهنا في الدين وعلمنا الحكمة والتأويل ♥
-------------------------------------
No comments:
Post a Comment